Ahli Lembaga Tabung Haji, Datuk Rosni Sohar berkata, sumba­ngan tersebut bagi meringankan beban dan mengubat kesedihan waris keluarga yang kematian bapa mereka dipercayai akibat serangan jantung semasa tidur, sehari selepas tiba di Mekah.

“Pihak Tabung Haji turut bersedih dengan pemergian arwah, namun berharap agar pihak keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. Mereka tidak perlu bimbang kerana Tabung Haji akan melaksanakan badal haji untuk arwah pada musim haji tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis tahlil arwah dan menyampaikan sumbangan semasa melawat keluarga arwah Kassim Palidin di Taman Bakti Ampang, dekat sini hari ini.

Anak sulung arwah, Muhammad Saiful Iskandar 39, mewa­kili adik-beradik seramai lima orang untuk menerima sumbangan tersebut.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani dan Pengarah Tabung Haji Selangor, Mohd. Sawal Abong.

Arwah meninggalkan seorang isteri, Norbiyah Sidin, 64, yang turut bersama-samanya untuk menunaikan haji, lima orang anak dan 12 orang cucu.

Pasangan suami isteri itu berlepas ke tanah suci pada 27 Ogos lalu dengan penerbangan KT33 dan keesokannya harinya, selepas daftar masuk menginap di Hotel Land Premium Mekah, arwah didapati meninggal dunia oleh rakan sebiliknya pada pukul 4.30 pagi (waktu Saudi).

Sementara itu, Muhammad Saiful Iskandar berkata, mereka sekeluarga sangat terkejut mendengarkan berita kematian ayah mereka kerana arwah tidak pernah sakit teruk atau mengambil sebarang ubat sebelum berangkat ke tanah suci.

“Bagaimanapun kami reda dengan pemergian ayah dan rasa bersyukur kerana jenazah ayah telah diuruskan dengan baik oleh petugas Tabung Haji dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraek, Mekah,” katanya.

Menurutnya, ibunya kini berada dalam keadaan baik dan sihat di Mekah, walaupun masih bersedih atas kematian mengejut bapa mereka.

“Mujur ada pegawai kaunseling dan kakitangan Tabung Haji serta jemaah lain yang tidak putus-putus membantu ibu untuk memberi semangat dan kekuatan baginya meneruskan ibadat haji, walaupun ibu kini keseorangan tanpa ditemani ayah,” katanya.

Ketika menceritakan detik-detik terakhir sebelum ayahnya berangkat ke tanah suci, Saiful berkata, kerana terlalu gembira berpeluang menunaikan haji, ayahnya masih bertugas sehari sebelum berlepas ke Jeddah pada 27 Ogos lalu.

“Ayah hendak menyudahkan kerja-kerjanya sebagai pemandu lori kontena supaya dia dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah tanpa memikirkan soal kerja.

“Mungkin agak kepenatan tanpa mendapat rehat yang mencukupi di samping penerbangan yang agak lama menyebabkan ayah mendapat serangan jantung.

“Kami adik beradik tidak akan melupakan pandang terakhir yang dilemparkan ayah kepada kami sebelum arwah berlepas ke tanah suci di Kompleks Haji Kelana Jaya.

“Ketika itu, ibu sudah beratur untuk daftar masuk, sebaliknya ayah memberhentikan langkahnya dan terus menoleh agak lama ke arah kami yang melambaikan tangan kepada mereka,” katanya.