Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, menerusi Yayasan Tabung Haji, pihaknya telah menjelajah ke seluruh negara meliputi 76 kawasan Parlimen untuk memberi sumbangan melalui program berkenaan bulan lalu.

Sehingga kini katanya, kira-kira 100,000 orang terutama golongan miskin dan asnaf telah menerima manfaat daripada program tersebut dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM18 juta.

“Kami memberi sumbangan kepada semua rakyat negara ini yang memerlukan tidak mengira kaum dan fahaman politik,” katanya kepada pemberita sempena majlis penyampaian sumba­ngan kepada Rumah Ehsan Warga Emas (Rews), Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Abdul Azeez menambah, pihaknya menyumbang kira-kira RM60,000 kepada rumah kebajikan terbabit termasuk dua buah katil elektrik dan wang tunai.

Beliau berharap sumbangan melalui program Alfiat itu dapat memanfaatkan keseluruhan 120 penghuninya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Hari ini kami menyumbangkan dua buah katil elektrik hospital dengan bateri yang bernilai RM8,904, wang tunai RM10,000 dan hamper kepada semua peng­huni.

“Kita juga akan mengusahakan untuk mendapatkan van kepada Rews supaya dapat membawa keluar penghuni seperti pergi solat Jumaat dan bersiar-siar,” katanya.