Saiful Azlan Shariff

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Saiful Azlan Shariff berkata, operasi yang dipanggil ‘safari wukuf’ itu akan melibatkan pesakit berada dalam keadaan sedar atau berpeluang untuk sedar bagi melaksana­kan rukun haji berkenaan.

“Kita akan membawa mereka dengan menaiki bas dan ambulans untuk berwukuf seketika di Arafah sebelum dibawa kembali ke pusat rawatan masing-masing,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau berkata, operasi ‘safari wukuf’ dilaksanakan bagi mengelakkan pesakit terdedah terlalu lama dalam cuaca panas yang boleh mencecah sehingga 52 darjah celsius seperti tahun lalu.

Sementara itu, dalam taklimat khas kepada wartawan Malaysia mengenai operasi masyair, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ‘safari wukuf’ tidak akan melibatkan pesakit yang koma atau tidak berpeluang untuk sedar biarpun seketika.

“Pesakit-pesakit lain akan dibawa dengan dua buah bas yang sudah diubah suai, bas dan ambulans,” katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut dilakukan oleh Tabung Haji bagi memastikan jemaah yang sakit berpeluang untuk berwukuf kerana ia merupakan rukun haji.

“Berbanding jemaah haji lain yang akan berada di Arafah sehari sebelum wukuf, jemaah haji yang sakit hanya dibawa ke Arafah pada hari wukuf iaitu Ahad ini.

“Mereka hanya akan melaksanakan wukuf manakala untuk wajib haji seperti bermalam di Muzdalifah dan melontar mereka akan mengupah petugas haji me­lakukannya,” katanya.