Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, keputusan kerajaan untuk meletakkan Tabung Haji di bawah kawal selia Bank Negara adalah bertujuan mengukuhkan tadbir urus dan pengurusan risiko.


“Ini tidak bermakna Tabung Haji di bawah Bank Negara kerana badan ini terus beroperasi dan tertakluk kepada Akta Tabung Haji 1955.


“Cuma penyeliaan Bank Negara ini akan memantapkan pengurusan risiko Tabung Haji terutamanya berkaitan risiko pelaburan, kecairan, pasaran serta operasi agar selari dengan standard industri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.


Selain itu, Mujahid menambah, kejayaan program perintis pra pelepasan imigresen terhadap jemaah haji Malaysia pada 2018 akan diambil kira Arab Saudi bagi meneruskannya pada tahun ini.


Katanya, Malaysia merupakan negara pertama dipilih Arab Saudi untuk melaksanakan program berkenaan dengan menyaksikan urusan imigresen diselesaikan sebelum jemaah tiba di tanah suci.


“Ianya berjaya mengurangkan masa menunggu setibanya jemaah di lapangan terbang Arab Saudi,” katanya.-UTUSAN ONLINE