Supiyah Bakar
Supiyah Bakar

Allahyarham Supiyah Bakar, 52, berangkat ke Tanah Suci pada 16 Ogos lalu dengan ditemani suami­nya, Mohamad Shairi Arshad, 61.

Anak sulungnya, Shafawati Mo­hamad Shairi, 33, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) lebih kurang pukul 6.30 petang Jumaat lalu yang memaklumkan ibunya meninggal dunia.

“Mereka memberitahu ibu me­ninggal dunia ketika sedang berehat di dalam bilik hotel lebih kurang pukul 11 pagi waktu tempatan. Beberapa minit selepas itu ayah pula meng­hubungi saya dan memaklumkan kejadian tersebut.

“Ketika kejadian, ayah berada di masjid dan sehingga kini jenazah masih belum dikebumikan kerana perlu melalui bebe­rapa proses. Saya risau memikirkan ayah keseorangan di sana, namun lega apabila dimaklumkan wakil Tabung Haji sentiasa menemaninya termasuk memberikan kaunseling,” katanya.

Shafawati berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di rumahnya, Pangsapuri Angsana, Ban­dar Bukit Puchong dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Pe­ngarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah.

Dalam kunjungan itu, Abdul Azeez turut menyampaikan sum­bangan RM3,000 daripada Tabung Haji dan pihak­nya turut mengadakan bacaan tahlil di kediaman Shafawati.

Menurut Shafawati, ibunya sa­ngat gembira apabila ditawarkan mengerjakan ibadah haji tahun ini, malah pernah bergurau ingin me­ninggal dunia di Tanah Suci.