Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, khidmat nasihat itu hanya untuk me­ngetahui sama ada syarikat yang dipilih jemaah berdaftar atau tidak dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi mengelak mereka ditipu atau terkandas ketika berada di tanah suci.

“Agensi pelancongan yang buat pakej umrah tumbuh macam cen­dawan, ada yang melakukan secara dalam talian. Jadi, saya sebagai Pengerusi (Tabung Haji) nak nasihatkan kepada rakyat tolonglah hati-hati pilih, kalau tak tahu, rujuk kita.

“Kita boleh bantu semak de­ngan kementerian sama ada agensi berdaftar atau tidak, pa­ling tidak pun hubungi talian hotline Tabung Haji supaya kita boleh bantu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Happy To School di Pagoh, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed merangkap Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh.

Menurut Abdul Azeez, masalah jemaah ditipu atau terkandas tidak sepatutnya berulang kerana pelbagai garis panduan dan amaran telah diberikan pihak berkuasa termasuk senarai pengendali yang berdaftar dengan kementerian terlibat.

Beliau berkata, biarpun Tabung Haji tiada kena mengena sepenuhnya dengan urusan umrah, namun akhirnya mangsa yang terkandas akan menghubungi pihaknya sehingga terpaksa meminta konsul haji Tabung Haji untuk membantu mereka.

Tegasnya, Tabung Haji sama sekali tidak menggunakan duit simpanan jemaah haji untuk menyelamatkan mereka yang terkandas, tetapi perkara itu diuruskan oleh Biro Kebajikan UMNO.

“Bukan kali pertama Biro Kebajikan UMNO bantu bawa pulang. Kita belanjakan antara RM180,000 hingga RM200,000 setiap kali bawa pulang jemaah yang terkandas.

“Masa nak pergi tak ada orang tanya boleh atau tidak guna agensi ini, tetapi bila terkandas baru hubungi kita. Jadi, tolonglah, cukup-cukuplah pergi bayar (pakej) yang RM3,000, RM3,500. Tak habis-habis kena tipu, takkanlah jemaah kita tak cerdik-cerdik lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez turut meminta jemaah mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan bagi mengelak dijangkiti wabak Mers-Cov ketika berada di tanah suci.

“Mers-Cov pernah berlaku dua tahun lalu. Kalau ikut garis panduan seperti tidak melawat ladang unta, minum banyak air, pakai penutup mulut dan sebagainya mungkin boleh mengelak dijangkiti,” katanya.