Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setelah 35 hari mengambil alih pemerintahan dari kerajaan Barisan Nasional, hampir RM1 juta sudah dibelanjakan bagi tujuan itu.

Katanya, beberapa penambahbaikan dilakukan untuk mempermudah dan mempercepatkan urusan apabila setiap permohonan kini tidak perlu lagi mendapatkan tandatangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan tidak perlu dihantar kepada Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN).

"Pemohon tidak lagi perlu ke sana sini untuk mendapatkan pengesahan, dan saya juga sudah arahkan pengurus tabung berkenaan sendiri membuat penilaian untuk kelulusan setiap permohonan dan tidak perlu lagi melalui proses sedia ada.

"Tempoh kelulusan permohanan yang dahulunya memakan masa sekitar tiga bulan hingga ke empat bulan kini akan menjadi lebih singkat antara sebulan atau dua bulan," katanya ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Aidilfitri Parlimen Kemaman yang diadakan di tapak letak kereta bersebelahan Pejabat Daerah, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan mempercepatkan proses permohonan dan pembinaan rumah baharu kepada keluarga yang terjejas dengan bencana seperti kebakaran, dan pemohon tidak perlu menunggu lama sehingga antara lapan hingga 10 bulan untuk mendapatkan rumah baharu.

"Tetapi dengan kaedah baharu selepas perjumpaan saya dengan pengurusan Tabung Darul Iman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya telah membuat keputusan bahawa rumah mesti disiapkan segera dalam tempoh antara tiga hingga empat bulan agar mereka tidak berdepan dengan kepayahan begitu lama.

Katanya, pembinaan tiga buah rumah baharu di Kampung Losong, Kuala Terengganu kepada mangsa kebakaran adalah projek rintis yang mengguna pakai pendekatan baharu.

"Kelulusan permohonan di bawah Tabung Darul Iman tidak mengambil kira fahaman politik dan mana-mana rakyat negeri ini yang berkelayakan boleh memohon, namun setakat ini didapati tidak ramai rakyat di sekitar Dungun dan Kemaman memohon.

"Mungkin ada antara rakyat yang tidak tahu akan adanya tabung ini jadi diharap selepas ini rakyat lebih terdedah. Mulai bulan depan, borang Tabung Darul Iman boleh diperoleh di setiap Pejabat ADUN kawasan masing-masing," katanya. - UTUSAN ONLINE