Penolong Kanan sekolah itu, Marzita Ahmad berkata, tablet yang dilengkapi aplikasi Tutor Guru bukan sahaja menjimatkan masa dalam menyediakan pelbagai aktiviti PdPc malah mudah digunakan tanpa memerlukan kemahiran ter­tentu berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), memadai dengan kemahiran asas sahaja.

“Oleh itu, penggunaan tablet guru boleh dianggap sebagai satu penanda aras untuk semua guru meningkatkan penguasaan kemahiran ICT dalam merancang, menyediakan dan melaksanakan PdPc mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Intervensi Tablet Guru yang dikendalikan oleh Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin di sekolahnya di sini hari ini.

Seramai 32 guru SMK Convent Sentul mengikuti program ini bagi membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21 iaitu dengan membina lembaran kerja digital yang mengandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan menggunakan aplikasi Tutor Guru.

Pada akhir program, SMK Convent Sentul diiktiraf sebagai Sekolah Mentor yang boleh dijadikan rujukan oleh sekolah di kawasan sekitarnya.

Mengulas mengenai program intervensi ini, Marzita berkata, pihak sekolah amat menghargainya kerana membolehkan guru-guru memahami dan menge­tahui dengan lebih jelas tentang penggunaan serta kemudahan yang disediakan.

“Pihak sekolah akan melantik beberapa guru sebagai mentor dan mentee agar penggunaan tablet dan kemudahan aplikasi yang disediakan digunakan sebaiknya oleh guru,” katanya.

Sehingga kini, 120,000 guru di Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor telah menerima Tablet Guru yang mengandungi aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia manakala guru di Negeri Sembilan, Putrajaya dan Perak akan menerima gajet serupa tidak lama lagi.