Antara 27 Tabika Kemas yang dijadikan tempat transit ialah di Putrajaya, Gombak, Tangkak, Kubang Pasu, Teluk Kemang, Kota Kinabalu dan Kuching.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi Tabika Transit Kemas tersebut bermula dari pukul 1 hingga 5.30 petang dan diuruskan Jawatankuasa Aktiviti Tabika dengan pemantauan Kemas.

Menurut beliau, Tabika Transit Kemas itu tidak sama dengan modul pembelajaran sebenar di dalam kelas kerana ia merupakan pilihan dan diwujudkan bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa yang bekerja.

“Modul pembelajaran Tabika Transit Kemas berlainan kerana Jawatankuasa Aktiviti Tabika akan berbincang dengan ibu bapa kanak-kanak dan pelajaran yang diperlukan adalah seperti bahasa ketiga, seni mempertahankan diri atau kelas agama.

“Selain itu, guru terlibat juga dipilih oleh jawatankuasa berkenaan termasuk pembayaran bagi Tabika Transit Kemas supaya tidak membebankan ibu bapa,” katanya selepas mengadakan lawatan Sesi Awal Tahun Persekolahan 2018 dan Pelancaran Garis Panduan Amalan Kebersihan di Tabika Kemas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli.

Buku Garis Panduan Amalan Kebersihan di Tabika Kemas tersebut akan diedarkan di setiap pusat pendidikan itu bermula hari ini dan diterbitkan bagi memupuk nilai kebersihan dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, peruntukan keseluruhan bagi pengoperasian Tabika Kemas dan Taska Permata Kemas adalah sebanyak RM220 juta, merangkumi gaji pemaju masyarakat, perbelanjaan perjalanan dan sara hidup.

“Bantuan Makanan Tamba­han sahaja kita memperuntuk­kan sebanyak RM142 juta berbanding tahun lalu hanya RM100 juta dalam menambah baik pakej pemakanan bernutrisi untuk kanak-kanak.

“Secara keseluruhannya, kerajaan menanggung kira-kira RM250 bagi setiap kanak-kanak yang belajar di Tabika Kemas dan ini adalah salah satu inisiatif dalam membantu meri­ngankan beban rakyat,” katanya.