Menurut anaknya, Prof. Puan Sri Dr. Rohaty Mohd. Majzub, ibunya hanya tenat sejak dua bulan lalu meskipun telah sakit selama enam bulan.

“Sudah setengah tahun beliau sakit ringan, manakala sakit tenat pula dua bulan. Selera makan tetap ada, masih boleh berbual dan membaca al-Quran serta menjawab salam.

“Pagi tadi beliau pergi dengan mudah dalam masa setengah jam atau satu jam selepas tenat. Kami baca surah Yasin dan selepas setengah jam, beliau sudah tiada dan saya lihat air matanya mengalir keluar. Kami bersyukur ibu pergi dengan tenang dan mudah pada hari Jumaat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini hari ini.

Jenazah Siti Rahmah, 91, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 5.40 petang selepas meninggal dunia akibat sakit tua pada pukul 10.55 pagi di rumah anaknya di Kelana Jaya, Selangor.

Rohaty menambah, walaupun sakit tenat, ibunya masih bersemangat untuk bercerita mengenai politik khususnya UMNO dan sering terlibat dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Beliau suka cerita pasal ta­nah air dan mesyuarat politik. Ibu juga amat aktif dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim),” jelasnya.

Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil juga menyifatkan pemergian Siti Rahmah ke rahmatullah sebagai kehilangan yang tiada galang gantinya.

Jelas Shahrizat, pemergian Allahyarham amat dirasai ter­utamanya oleh Pergerakan Wanita UMNO kerana keazaman bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Sembilan itu menjadi pegangan dan azimat dalam meneruskan perjuangan bangsa.

“Doa kami mengiringi Allahyarham semoga rohnya ditempatkan di jannah bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.