Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, buat masa kini hanya 50 peratus daripada 2,630 nelayan kelas B memasang sistem tersebut pada bot masing-masing walaupun pemasangan dilakukan secara percuma.

Menurut beliau, sistem tersebut sebenarnya penting untuk mengelakkan nelayan melepasi kawasan sempadan perairan antarabangsa sekali gus boleh menyebabkan mereka berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Oleh demikian, kita berharap semua pemilik bot nelayan kelas B segera memasang AIS kerana ia dilakukan secara percuma. Kos pemasangan sistem ini bernilai RM5,000 bagi setiap bot dan setakat ini 2,000 nelayan daripada kelas C telah memasangnya.

“Keberkesanan sistem ini terbukti apabila Jabatan Perikanan kita berjaya menyelesaikan kira-kira enam kes menyelamatkan bot nelayan tempatan yang dikatakan menceroboh perairan negara sempadan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Shabery melancarkan majlis Penyampaian Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Selangor.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Sempena program itu, turut berlangsung perasmian Koperasi Ukhwah Kuala Selangor Berhad sebagai peruncit ikan segar beku Q'Fish bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan penjualan ikan segar pada harga yang lebih berpatutan.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, golongan nelayan perlu terus menyokong Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana parti itu sentiasa komited menjaga kebajikan rakyat.

Jelasnya, hanya Malaysia sahaja yang memberikan elaun kepada nelayan bagi memastikan golongan terbabit tidak mengalami kesusahan ketika musim bekalan ikan kurang.

“Walaupun jumlah bantuan yang diberikan ini tidak besar, namun ia membantu meringankan beban golongan tersebut,” ujarnya.