Pensyarah Kolej Universiti Insaniah Kedah, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi berkata, perbezaan dalam soal tauhid sehingga mengangkat imam-imam mereka sebaris dengan Rasulullah SAW merupakan penyelewengan dalam asas-asas ajaran dan ibadat dalam Islam.

“Kita tidak boleh kata, ajaran Syiah satu mazhab sebagaimana kita menerima mazhab Maliki, Shafei, Maliki dan Hambali. Mazhab yang empat ini hanya membabitkan soal fiqah.

“Berbeza dengan Syiah, mereka bukan sahaja berbeza dalam soal fiqah malah dalam soal akidah, asas tauhid dan ketuhanan dalam Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau ditemui selepas menjadi ahli panel Forum Perpaduan Ummah dan Kepentingan dari Perspektif Ulama di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAG) di Hotel Grand Season di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, oleh kerana menantu Rasulullah SAW, Saidina Ali Abi Talib disifatkan sebagai pintu gerbang kepada ilmu menyebabkan pengikut Syiah menganggap sahabat besar baginda itu sebagai ‘tuhan’.

“Mereka terlalu melakukan persembahan dan pendewaan terhadap para imam mereka dan sanggup mengkafirkan orang lain.

“Malah, lebih teruk nama-nama sahabat seperti Saidina Abu Bakar dan Umar Al Khattab disyahadahkan dalam kalimah syahadah mereka sebagai ahli-ahli neraka,” katanya.

Menurutnya, perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini akibat penyebaran ajaran Syiah perlu ditangani secara serius dan tuntas.

“Mungkin tidak mudah tetapi sehingga melibatkan soal akidah maka kita terpaksa tangani juga bagi menyelamatkan ummah,” katanya.