Syed Sirajuddin Areeb menerima pemasyhuran itu pada program Seronoknya Membaca Edisi Bangun Jiwa yang diadakan bersempena Kembara Titah 2018, bagi memuliakan hari keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-75.

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd. Wahab Ibrahim berkata, Syed Sirajuddin Areeb dipilih sebagai ikon kerana aura pemimpin kecil itu dilihat mampu menarik minat para pelajar mencontohi hobi baginda yang suka membaca.

Katanya, pemilihan itu juga adalah bagi menarik perhatian kanak-kanak di negeri ini untuk membudayakan minat membaca.

“Sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan baginda mempunyai tarikan tersendiri dan diharap dengan inisiatif ini kanak-kanak akan lebih tertarik untuk membaca,” katanya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas.

Pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, bercerita kisah Nabi dan pelbagai lagi aktiviti menarik diadakan sepanjang program tersebut.

Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh DBP;Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur.-UTUSAN ONLINE