Idris Haron

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Hari Raya Aidilfitri yang juga medan melaksanakan tradisi menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan juga hendaklah diteruskan dan tidak terhenti setakat di bulan Ra­madan dan Syawal sahaja.

Menurutnya, beliau percaya Ramadan yang berlalu telah dapat membersih hati dan jiwa seluruh umat Islam daripada anasir yang bo­leh meruntuh dan merosak kekuatan hati.

“Saya berharap telah terhasil ummah sejati selepas madrasah Ramadan berlalu dan marilah kita terus bersatu, berbaik sangka dan me­ngetepikan sifat mazmumah.

“Kita suburkan sinar Islam demi membawa Malaysia dan Melaka membangun sebagai sebuah negara yang lebih cemerlang dan setaraf negara maju lain di dunia,” katanya dalam Perutusan Khas Sempena 1 Syawal 2017 di sini hari ini.

Sementara itu jelasnya lagi, Syawal juga adalah masanya untuk kita bergembira, pulang ke pangkuan ibu bapa serta sanak saudara, berkumpul dan mengerat silaturahim serta mengunjungi mereka yang tersayang.

Beliau berkata, nikmat ke­­makmuran ekonomi dan kestabilan politik telah membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana kemajmukan, selamat aman dan makmur.

“Justeru itu, umat Islam perlu bersyukur kerana negara kita bebas daripada sebarang bentuk peperangan, penindasan dan kekejaman. Begitulah indah dan beruntungnya tinggal di negara yang makmur seperti Malaysia.

“Bukan seperti nasib saudara Islam kita di sesetengah negara Afrika, Asia Barat, Eropah dan Amerika yang se­ring ditimpa bencana, konflik permusuhan, krisis ekonomi dan pergolakan politik berpanjangan,” ujarnya.

Tambah Idris, apa yang di­kecapi negara pada masa kini terhasil dengan adanya pe­ngurusan dan pentadbiran serta kepimpinan yang cekap lagi berkesan.

“Terima kasih juga diucap­kan kepada anggota pasukan keselamatan yang tetap teguh memikul amanah dan tanggungjawab bertugas di perbatasan dan di perantauan atau di seluruh pelusuk negara.

“Khidmat dan pengorbanan mereka amat kita hargai dan sanjung tinggi hingga menjadikan Malaysia amnya dan Melaka khasnya masih terus kekal selamat aman makmur,” katanya.