Maimon yang ketika itu baru bercerai dengan suami terpaksa meninggalkan anak lelakinya itu yang berusia dua tahun serta dua anak angkat perempuan ber­usia empat tahun dan empat bulan bersama bekas kakak iparnya kerana mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di ibu negara untuk menampung hidup.

Namun, dua bulan kemudian apabila dia pulang ke rumah bekas kakak iparnya di Batu Kurau untuk menjenguk anak-anaknya, Maimon mendapat berita menyayat hati iaitu ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah dijual kepada keluarga lain.

Sejak itu Maimon tidak berhenti berusaha mencari ketiga-tiga anaknya dan beberapa tahun lepas dia berjaya menemukan dua anak angkat perempuannya iaitu Siti Salwa, 40, dan Siti Hawa, 36, yang sudah berkeluarga di Kamunting dan Melaka.

Namun, usaha mencari anak kandungnya, Selamat@Nadzrul Mohamed, 38, menemui jalan buntu lalu Maimon mendapatkan bantuan Ketua Biro Khidmat dan Aduan MCA Perak, Jimmy Loh Thim Kheun untuk mengesan anak lelakinya itu.

Usaha wanita berasal dari Sabah itu berbaloi apabila berita mengenai pencarian itu diketahui keluarga angkat serta rakan-rakan anak­nya yang menetap di Machang, Kelantan dan pada 28 Jun lalu, Maimon buat kali pertama selepas 36 tahun dapat mendengar suara anaknya itu yang menghubungi­nya melalui telefon.

“Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati saya apabila dia memberitahu dia adalah anak saya, Along. Kira-kira pukul 7 pagi Sabtu lepas, kami sekeluarga menjemput Along di Terminal Aman Jaya dan setelah 36 tahun akhirnya saya dapat memeluk dan mencium wajah anak yang sangat saya rindukan.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini paling bermakna buat saya apabila dapat meraikannya bersama Along,” katanya sebak ketika ditemui di Wisma MCA di sini hari ini.

Maimon yang sudah berumahtangga kali kedua dengan Mohd. Ibrahim Mohamad, 61, dan mempunyai dua anak berkata, kegembiraannya berganda apabila anak sulung­nya itu turut bersetuju untuk tinggal dan menetap bersamanya di sini.

“Alhamdulillah, setelah dipujuk oleh saya dan dua adiknya iaitu Mohd. Faizal Zulkarnain, 19, dan Siti Mardiaton, 18, Along bersetuju untuk pulang serta tinggal bersama kami di sini,” katanya yang me­netap di Ashby Road di sini.