Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, syarikat-syarikat tempatan perlu lebih kompetetif dan mampu menembusi pasaran asing kerana keadaan itu menjadi sangat penting bagi membolehkan Malaysia meninggalkan impak yang besar.

“Malaysia yang hanya merupakan sebuah ekonomi perdagangan yang kecil kini menghadapi pelbagai cabaran termasuk melibatkan ketidaktentuan dasar-dasar di Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan perlindungan dan ketidaktentuan harga komoditi yang memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Justeru, kita memerlukan lebih banyak syarikat multinasional di peringkat global bagi menghadapi cabaran-cabaran ini,” katanya ketika memberi ucap tama pada Anugerah Kecemerlangan Industri 2016, di sini malam ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Mustapa berkata, kementerian berperanan memastikan pembangunan negara berterusan dengan kerjasama sektor perniagaan selain membentuk kerjasama lebih rapat dengan sektor industri.

“Sektor swasta adalah sektor yang menjana pekerjaan utama kepada 12 juta orang penduduk dan 1.6 juta orang pula bekerja dalam sektor awam selain dalam sektor eksport dan pelaburan.

“Bagaimanapun, syarikat swasta kini sedang mengurangkan operasi dan pelaburan mereka di negara ini,” ujarnya.

Justeru, katanya, kerajaan sejak kebelakangan ini lebih memberi fokus dalam pelaburan fizikal dan perisian infrastruktur bagi menggalakkan pembangunan sektor swasta.

“Peranan kerajaan adalah bagi memastikan pembangunan sektor swasta dengan pengenalan pelbagai kemudahan dan dasar dalam menggalakkan pembangunan swasta,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan negara dijangka terus meningkat sebanyak 4.5 peratus berband ing pertumbuhan tahun lepas iaitu sebanyak 4.2 peratus.