Kementerian Tanah Jepun berkata, syarikat berkenaan KYB dan anak syarikatnya, Kayaba System Machinery dilaporkan memalsukan data berkaitan ‘peredam minyak’ yang digunakan di hampir 1,000 bangunan seluruh negara.

Kementerian itu bagaimanapun enggan menamakan bangunan yang terjejas tetapi media tempatan melaporkan salah satunya mungkin bangunan tertinggi di dunia iaitu Tokyo Skytree dan juga ibu pejabat kerajaan tempatan.

Berikutan itu, syarikat berkenaan telah diarah supaya menukar peralatan yang terjejas dengan segera dan melakukan siasatan tentang tindakan manipulasi data yang berlaku.

Kementerian itu bagaimanapun menegaskan bangunan yang terjejas masih lagi mampu berdiri kukuh meskipun berlakunya gempa bumi pada tahap maksimum.

Penyerap hentakan merupakan sebahagian daripada sistem kompleks yang dipasang di kebanyakan bangunan sebagai usaha negara itu menghadapi bencana gempa bumi.

Alat berkenaan bergerak selari dengan sistem yang dibina dalam asas binaan bangunan untuk mengurangkan kesan-kesan gempa bumi.

“Kami tidak tahu bagaimana dan kenapa data berkenaan dipalsukan dan kami telah mengarahkan syarikat-syarikat tersebut menyiasat punca dan menyerahkan laporan kepada kami,” ujar kementerian tersebut kepada AFP.

Kementerian itu menambah, beribu peredam minyak yang dihasilkan antara Mac 2000 dan bulan lalu, terlibat dalam skandal pemalsuan tersebut. - AFP