Keadaan itu menimbulkan persoalan adakah benar pengguna akan mendapat manfaat daripada dasar baru itu atau ia lebih menguntungkan syarikat insurans kerana mereka kini tidak terlalu terikat dengan peraturan BNM?

Sebelum ini, nilai premium insurans yang dikenakan oleh syarikat-syarikat insurans terhadap pemilik kereta sememangnya tidak banyak berbeza kerana terikat kepada tarif yang telah ditetapkan, namun keterbukaan pasaran sekarang akan membawa perbezaan.

Sebenarnya, polisi baharu yang diperkenalkan itu telah lama terpakai di negara-negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, China, Singapura dan Thailand bagaimanapun ia baharu sahaja diperkenalkan di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Bhd. (Maybank Ageas) selaku pengendali Etiqa Insurance Bhd. dan Etiqa Takaful Bhd, Kamaludin Ahmad, langkah yang diperkenalkan itu akan lebih menguntungkan pengguna kerana harga yang ditawarkan lebih murah dengan penawaran pelbagai produk.

“Perang harga antara syarikat-syarikat insurans misalnya akan menyebabkan lebih banyak syarikat insurans berusaha memberi harga yang lebih murah dan mutu perkhidmatan yang terbaik bagi menarik pelanggan.

“Ini akan dinikmati pelanggan. Bagaimanapun perbezaan harga yang ditawarkan kepada mereka adalah tidak boleh kurang daripada 10 peratus atau tidak melebihi 10 peratus seperti yang ditetapkan oleh BNM.

“Maka, pelanggan yang dikategorikan sebagai pemandu berisiko rendah atau pemandu berhemah tidak perlu bimbang kerana harga insurans mereka akan lebih murah dan tidak akan ketara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

BNM pada April tahun lalu mengumumkan pakej liberalisasi bagi sektor kewangan yang antara lain turut melibatkan perubahan dalam industri insurans, terutama insurans motor dan kebakaran.

Menyentuh mengenai sambutan, Kamaludin berkata, sambutan setakat ini amat menggalakkan kerana lebih banyak pelanggan kini akan berusaha membuat penilaian atau perbandingan harga terhadap beberapa syarikat insurans dan mendapatkan nilai terbaik.

Dalam pada itu, Persa­tuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memberitahu, maksud liberalisasi dalam industri insurans adalah harga produk insurans kenderaan tidak lagi ditentukan oleh tarif, sebaliknya ditentukan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful.

Seseorang pelanggan yang berada dalam ketegori risiko baik (good risk) akan diberi ganjaran, manakala risiko buruk (bad risk) dikenalpasti dan dikenakan premium yang lebih tinggi.

Ini bermaksud pemandu yang baik akan membayar premium yang lebih rendah berbanding pemandu lain yang dari kelas sama kerana kebarangkalian pemandu terlibat dalam banyak kemalangan.

Menurut jurucakap PIAM, perkara tersebut akan menjadi insentif kepada pemandu yang dianggap tidak baik untuk berada pada risiko yang lebih baik di masa depan.

Ganjaran dalam bentuk pengurangan premium akan dapat memupuk tabiat pemanduan yang selamat yang akan memberi manfaat kepada mereka serta orang awam.

“Pengguna kini dapat menikmati pilihan produk insurans kenderaan yang lebih luas dengan harga yang kompetitif memandangkan liberalisasi menggalakkan inovasi dan persaingan antara syarikat insurans dan pengendali takaful,” jelasnya.