Dua daripada penyumbang tersebut iaitu Hunza Properties Berhad dan Ideal Property Group masing-masing menyumbang sebanyak RM353,250 dan RM81,992.50 yang disalurkan menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, sumbangan selebihnya pula diterima daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) negeri.

"Sumbangan-sumbangan ini sebenarnya merupakan bayaran fi kelulusan terhadap pembayaran hartanah oleh warga asing.

"Kita (kerajaan negeri) telah putuskan untuk mengecualikan mereka (ketiga-tiga penyumbang) daripada bayaran ini dan semua pihak bersetuju jumlah yang telah dibayar disalurkan terus kepada THM sebagai sumbangan terhadap tabung tersebut," katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan itu ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; beberapa Exco kerajaan negeri, Pengarah PTG negeri, Abdul Rahman Johor, wakil daripada REHDA negeri serta wakil kedua-dua syarikat hartanah terbabit. - UTUSAN ONLINE