Tiga anugerah tersebut ialah kategori Apartmen untuk projek syarikat itu, Bay Pavilions di Sydney Australia, kategori Rekaan dan Pembinaan Hotel Baharu untuk projek Pusat Konvensyen dan Hotel TH di Kuching, Sarawak dan ketiga dalam kategori Pembinaan Pejabat bagi projek Kompleks Islam Putrajaya yang terletak di Presinct 3, Putrajaya.

Pengerusi TH Properties, Datuk Azizan Abd. Rahman dan Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman mewakili syarikat itu untuk menerima ketiga-tiga anugerah berkenaan dalam satu majlis yang diadakan di hotel Marriott Marquis Queen’s Park di sini hari ini.

Pemilihan ketiga-tiga projek dilakukan oleh barisan hakim antarabangsa dan pakar hartanah yang berpengalaman di dalam industri yang turut mengadili beberapa kategori lain dengan mendapat sehingga 1,000 penyertaan daripada 27 negara dari rantau ini.

Mengulas mengenai penganugerahan tersebut, Azizan berkata, pencapaian itu merupakan bukti hasil usaha berterusan syarikatnya sejak beberapa tahun.

“Kemenangan ini adalah sebagai insentif kepada kami untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan dengan menyediakan produk yang berkualiti sebaik mungkin,” katanya

Kompleks Islam Putrajaya yang merupakan satu daripada projek yang membantu kemenangan TH Properties adalah milik Tabung Haji dan disewa oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).- UTUSAN ONLINE