Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sendiri mengiktiraf Malaysia sebagai satu daripada ekonomi terbaik di rantau ini hasil pelbagai transformasi serta asas ekonomi yang baik.

Kata Perdana Menteri, kedudukan ekonomi negara tiada kaitannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana program rasionalisasi syarikat pelaburan strategik kerajaan itu berjalan baik dan pada masa sama pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjadi penyelamat kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, dirinya sebagai Perdana Menteri juga gigih mempromosi negara dengan mendekatkan diri dengan pemimpin-pemimpin utama dunia supaya Malaysia menjadi destinasi pelaburan pilihan negara-negara maju.

“Tidak kira Shinzo Abe (Perdana Menteri Jepun), Narendra Modi (Perdana Menteri India), Raja Salman Abdulaziz Al-Saud (Raja Arab Saudi) dan Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat), amat penting bagi negara menjalinkan hubungan yang baik dengan negara lain demi menarik pelaburan asing.

“Oleh sebab itu banyak pelabur antarabangsa sama ada dari China, United Kingdom, India, Arab Saudi dan banyak lagi menaruh keyakinan terhadap Malaysia. Mereka tahu kita mempunyai rancangan membangunkan ekonomi dan berjaya dilaksanakan.

“Ahli-ahli perniagaan ini mengetahui terdapatnya suara-suara kalangan ahli politik tempatan yang cuba membuat dakwaan palsu bagi merosakkan imej negara,” kata Najib pada majlis Makan Malam Gala Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sempena ulang tahun ke-50 lembaga itu, di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi MIDA, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Kata Najib, MIDA juga berperanan penting kepada pembangunan ekonomi negara yang membolehkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia hanya bernilai US$3.9 bilion (RM16.46 bilion) pada tahun 1970 kepada US$296.4 bilion (RM1.25 trilion) sehingga 2016.

“Penekanan terhadap dunia digital juga telah membolehkan syarikat tempatan kini menyertai pasaran antarabangsa dan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan,” katanya.

Pada majlis makan malam itu juga, Wartawan Meja Ekonomi Utusan Malaysia, Akmyr Syahar Azwar berjaya menerima hadiah saguhati pengiktirafan MIDA menerusi artikelnya bertajuk Industri Aeroangkasa Tarik RM4 bilion Pelaburan yang membolehkannya membawa pulang tunai RM1,500 berserta sijil. - UTUSAN ONLINE