Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pelaksanaan undang-undang Islam sebenarnya untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada orang ramai.

"Berhubung idea untuk negeri mengikuti jejak langkah itu (hukuman sebat), saya berasa ini bukan semangat pelaksanaan hukuman jenayah Islam. Ini bakal memberi mesej bahawa Islam hanya menghukum manusia.

"Sebenarnya ia (undang-undang syariah) berdasarkan prinsip kesedaran dan mendidik orang ramai, bukannya menghukum," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Korporat Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini hari ini.

Jabatan Agama Islam Pahang semalam berhasrat untuk melaksanakan hukuman sebat terhadap pesalah LGBT seperti dilaksanakan di Terengganu.

Kelmarin, dua wanita disebat enam kali di khalayak ramai di Mahkamah Tinggi Terengganu kerana cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Arena Square, Dungun pada 8 April.

Keputusan sebat di hadapan orang ramai itu telah mencetuskan kritikan pelbagai pihak yang menyifatkannya tidak selari dengan ajaran Islam. - UTUSAN ONLINE