Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, kementerian akan bertimbang rasa kepada pengusaha-pengusaha makanan dalam pengambilan tukang masak tempatan.

“Kami akan berhubung dengan beberapa pihak sebelum proses akhir ditentukan,” katanya se­-
per­ti dipetik melalui portal berita tempatan, Mstar, hari ini.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, syarat tersebut hanya terpakai kepada cawangan makanan tempatan dan bukannya restoran luar negara dan hotel lima bintang yang memerlukan tukang masak khas.

“Kami bertimbang rasa,” katanya.

Tambahnya, bandar raya Kuala Lumpur mempunyai undang-undang sedia ada yang menetapkan penjaja hendaklah berstatus warganegara.

Semalam, Kulasegaran ketika ditemui Bernama News Channel menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.

Katanya, semua pengusaha akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan sahaja bekerja di restoran mereka dan peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari tahun depan.

Kenyataan Kulasegaran itu mencetuskan kritikan pelbagai pihak khususnya para netizen di laman sosial dan beberapa persatuan pengusaha makanan.

Menurut Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma), P. Muthu­samy, keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma), Ayoob Khan Muhamad Yakub pula berkata, masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan yang mahu bekerja di restoran.

“Kami buat iklan, sanggup ba­yar gaji hingga RM2,500 pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran,” katanya.