JOHAN ABD. AZIZ

Setiausaha Ba­dan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, pada masa sama, alasan ko­nonnya pemaju gagal mendapatkan Ke­benaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai penyebab tindakan pem­batalan dibuat juga sangat naif dan boleh dipersoalkan.

Menurutnya, pembatalan projek itu yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengu­rusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad juga amat meragukan kerana kerajaan negeri sendiri didakwa bukan sahaja tidak mematuhi malah tidak melaksanakan syarat tersebut sebelum ini.

“Iskandar berbohong apabila menyatakan di bawah pentadbiran kerajaan negeri sekarang, pemaju tidak boleh membina Rumah Selangorku paling akhir, tetapi perlu dibina terlebih dahulu atau serentak dengan projek perumahan harga biasa.

“Sila tunjukkan di lokasi manakah Rumah Selangorku bina dahulu sebelum kategori perumahan harga biasa di ne­geri ini?” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Johan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih turut membidas kerajaan negeri termasuk PBT yang seakan-akan mengamalkan sikap berpilih dalam melaksa­nakan projek ber­kepentingan rakyat di Sela­ngor.

Selain itu jelasnya, Iskandar juga tidak perlu menuding jari kepada pihak lain berikutan kegagalan melaksanakan projek Rumah Selangorku kerana kelulusan Kebenaran Merancang itu di bawah kuasa PBT yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri sendiri.

“Sepatutnya Iskandar perlu meneliti isu Rumah Sela­ngorku membabitkan amalan serta pengurusan PBT yang tidak seragam, bukan me­nyalahkan pihak pemaju semata-mata.

“Selain itu, kerajaan ne­geri juga tidak menyediakan subsidi kepada pemaju tetapi menetapkan syarat supaya mereka membina sekurang-kurangnya 50 peratus perumahan mampu milik di bawah skim itu daripada jumlah ke­seluruhan unit sesebuah projek,” ujarnya.