Rohani Abdul Karim

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, langkah itu akan dilakukan oleh kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil ke­sempatan.

Katanya, buat masa ini syarat-syarat yang digariskan bagi perkahwinan kanak-kanak mesti mendapat kebenaran keluarga, Mahkamah Syariah dan Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri masing-masing.

“Merujuk keputusan Mahkamah Sesyen semalam yang membebaskan seorang lelaki daripada tuduhan merogol gadis bawah umur di Sarawak, sepatutnya ia tidak berlaku kerana rogol dan perkahwinan merupakan dua perkara yang berbeza.

“Apabila seseorang itu didakwa atas kesalahan merogol, dia perlu menjalani hukuman jika didapati bersalah. Kes rogolnya itu tidak boleh ditutup hanya berkahwin dengan mangsa bawah umur itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai seorang lelaki 22 tahun yang digugurkan daripada tuduhan rogol selepas mengahwini mangsa yang berusia 14 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuching, Sarawak, semalam.

Tuduhan ke atas lelaki itu digugurkan selepas sijil perkahwinan dikemukakan dan gadis itu menarik balik aduan tersebut.

Jelas Rohani, pihaknya turut dimaklumkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya akan mengemukakan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu di Mahkamah Tinggi.

Katanya, pihaknya perlu bertindak tegas dalam isu berkaitan hak kanak-kanak kerana turut diperhatikan oleh Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).