Bapa kepada Syahirah, Amiruddin Rahmat, 63, berkata, anak bongsunya yang mempunyai perwatakan ceria itu suka terlibat dengan aktiviti berkenaan di universiti sehingga rakan-rakannya  menyenanginya.

Menurut Amiruddin, Syahirah tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan malah sering membuat panggilan video setiap hari terutamanya apabila mengetahui kakak dan abangnya mahu bercuti bersamanya.

"Kali terakhir kami bertemu pada Aidilfitri lalu yang mana ketika itu Syahirah tidak sepatutnya balik kerana terlibat dengan program khidmat masyarakat. Namun, ekoran berlaku bencana banjir, pelajar di sana dibenarkan pulang.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga redha dengan pemergian Syahirah kerana sepanjang hayat dia telah buat yang terbaik. Dia anak syurga kami," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini malam ini.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan dua lagi anaknya, Suria Iskandar, 25, dan Syazwani, 22, yang dirawat di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr. Wahidin Sudirohusodo di Makassar berkata, kedua-dua mereka dalam keadaan stabil.

"Ketika kejadian, Syazwani sedar dan mengetahui adiknya telah meninggal, tetapi abangnya, Suria Iskandar hanya dimaklumkan pemergian Syahirah beberapa jam selepas itu.

"Syazwani mungkin dibenarkan keluar dalam tempoh dua minggu lagi dan mereka berdua kini dijaga anak sulung saya, Suria Kencana dan isterinya," ujarnya.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengesahkan kematian Syahirah selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan bersiar-siar menaiki moisikal di Pantai Tanjung Bira, kira-kira 192 kilometer dari Kota Makassar.

Allahyarham dilapor mengalami kecederaan parah dibahagian kepala dan leher.

Selain Syahirah,  abang dan kakaknya, Suria Iskandar dan Syazwani turut cedera dalam kejadian itu yang dilaporkan berlaku pada pukul 4 petang waktu Indonesia Tengah. - UTUSAN ONLINE