SYAFIQ FARHAIN
SYAFIQ FARHAIN

Menurut Syafiq, 23, semua yang berlaku tidak memberi tekanan sebaliknya dia memandang perkara tersebut dari sudut yang positif.

"Segala yang terjadi saya anggap sebagai pengalaman seorang anak seni yang baru menapak dalam bidang ini. Saya melihat ia dari sudut positif dan perkara tersebut menjadikan saya seorang yang lebih matang dan tidak cepat melatah.

"Dengan pengalaman ini juga membuatkan saya lebih bersedia berdepan dugaan pada masa akan datang. Saya tahu dalam dunia hiburan ini banyak cabaran besar yang perlu saya tempuhi," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku ini meluahkan rasa syukur kerana sentiasa mendapat sokongan daripada ibunya. Meskipun berdepan isu besar, ibunya sama sekali tidak meminta Syafiq untuk berundur dari dunia muzik.

"Saya mendapat sokongan ibu dan rakan-rakan sekeliling ketika saya berhadapan dengan situasi tersebut. Ibu tidak jemu-jemu memberi kekuatan untuk saya bertahan.

"Dia sentiasa menyokong apa yang saya lakukan sejak awal lagi. Baginya, selagi saya melakukan perkara yang baik, dia tidak pernah melarang," jelasnya yang ditemui pada acara perlawanan akhir sepaktakraw Utusan 2017 di Quill City Mall, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE