Kempen itu melibatkan lapan lokasi bazar Ramadan terpilih iaitu Stadium Paroi, Bandar Baru Nilai, Giant Lukut, Melang, Batu Kikir, Kuala Klawang, pekan Rembau dan Dataran Stadium Mini Tampin.

Pengarah SWCorp negeri, Zainal Fitri Ahmad berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya menyokong kempen Mangkuk Tingkat yang mampu membantu orang ramai mengawal perbelanjaan ketika mengunjungi bazar Ramadan.

"Penggunaan mangkuk tingkat membolehkan orang ramai mengehadkan pembelian mengikut keperluan individu atau keluarga masing-masing," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan gimik kempen Value Food No Waste, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Wilayah SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) Melaka dan Negeri Sembilan, Dr. Al’Ashari Othman dan Pengurus Operasi Wilayah SWM Negeri Sembilan, Tee Wei Ming.

Zainal Fitri Ahmad menggariskan lima prinsip utama mangkuk tingkat iaitu mengamalkan budaya guna semula, lebih mesra alam, mengelak pembaziran, mengawal pembelian dan kualiti serta kesegaran makanan terjamin.

Beliau memberitahu, setiap hari sebanyak 1,000 tan metrik sisa pepejal dibuang oleh orang ramai yang mana 45 peratus adalah komponen makanan.

"Daripada 45 peratus itu, sebanyak 30 peratus adalah lebihan makanan yang masih boleh dimakan jika diurus dengan betul," ujarnya. - UTUSAN ONLINE