Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, pada masa ini terdapat 19 buah syarikat swasta yang memiliki pusat itu di seluruh negara di samping 13 lagi milik agensi tersebut.

Beliau berkata, pembinaan pusat-pusat itu mampu mengadaptasi cara baharu pemakanan buah-buahan bermusim oleh rakyat negara ini selain menjadikannya tahan lebih lama.

“Menerusi pemprosesan sejuk beku buah-buahan bermusim seperti durian, cempedak dan mempelam ini, ia dapat digunakan pada bila-bila masa kerana mampu tahan sehingga dua tahun.

“Jika dahulu, sebagai contoh, durian hanya dapat dinikmati sepanjang kira-kira tiga bulan sahaja iaitu semasa musim pengeluaran tetapi kini tidak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemprosesan Buah-buahan Segar FAMA di Beseri di sini baru-baru ini.

Menurut Ahmad, teknologi sejuk beku itu juga membolehkan syarikat-syarikat menggunakan pes buah-buahan tempatan sebagai penambah rasa produk-produk mereka.

Katanya, ia sekali gus mampu memenuhi selera rakyat negara ini khususnya generasi muda, mengenai cara menikmati buah-buahan tempatan.

“Pada masa ini permintaan terhadap pes buah-buahan seperti durian, mempelam Perlis Sunshine dan cempedak baik dan tinggi di pasaran.

“Malah ketika ini, sudah ada masyarakat Tionghua yang menghasilkan produk kek bulan cara baharu iaitu menggunakan isi durian bagi menggantikan kuning telur itik,” katanya lagi.

Tambah Ahmad, teknologi sejuk beku itu turut boleh membantu mengatasi permintaan buah-buahan yang tinggi dari China kerana Malaysia hanya boleh mengeksport durian dalam bentuk pes, ulas dan produk berasaskan buah tersebut. - UTUSAN ONLINE