Suwaibah Mohd. Nasir yang juga pemegang rekod atas kejayaannya merentasi Gurun Sahara amat berharap sokongan semua pihak terhadapnya selama ini akan membuahkan hasil.

“Usaha menawan 30 puncak menara tertinggi di dunia menjadi tanda aras penting bagi atlet dan rakyat bahawa kita juga boleh melakukannya.

“Berdasarkan perancangan, selepas Aidilfitri nanti saya akan ke Qatar bagi menawan Burj Khalifa.

“Namun, jika ada halangan cuaca dan keadaan keselamatan tidak mengizinkan, saya teruskan misi dengan mendahulukan 16 negara lain yang tiada kekangan birokrasi,” katanya dalam majlis Iftar dan Jasamu Dikenang di Menara KL hari ini.

Majlis tersebut turut me­nyaksikan Suwaibah menerima penghargaan daripada Pengurus Besar Malaysia Book of Records, Alex Mohamad atas usahanya sebagai peserta wanita solo pertama untuk menawan 30 menara tertinggi dunia.

Dalam pada itu, beliau berkata, latihan intensif masih diteruskan walaupun berdepan dengan halangan cuaca kerana perancangan diatur memerlukannya cukup bersedia dan bertenaga.

“Sehingga kini, dana tajaan terkumpul agak perlahan dan kami harap pihak syarikat milik kerajaan (GLC) mahupun wakil korporat untuk tampil menghulurkan sumbangan, seterusnya merealisasikan matlamat Malaysia di persada dunia,” ujar­nya.