Suwaibah berkata, menerusi sukan, perpaduan antara masyarakat dapat disatukan selain mewujudkan generasi sihat, sekali gus memacu kemajuan negara yang mampan.

Menyatukan masyarakat melalui sukan merupakan impian saya sejak dahulu dan saya menyimpan cita-cita untuk melihat lebih ramai anak muda tampil dengan keberanian mencipta nama menerusi semangat kental mereka.

“Diharap misi kali ini dijadikan pembakar semangat untuk semua rakyat Malaysia agar rajin bersukan dan amalkan gaya hidup sihat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Misi Keamanan Dunia Sejagat menerusi Misi Menawan 30 Menara Dunia, di sini hari ini.

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz turut perkenan menghadiri majlis tersebut bersama 20 atlet termasuk atlet Paralimpik dan dan bekas atlet negara sebagai tanda sokongan terhadap misi berkenaan.

Suwaibah memulakan Misi Menawan 30 Menara Dunia pada 31 Ogos tahun lalu dengan mendaki Menara Avala di Belgrade, Serbia dan dijangka meneruskan misi tersebut di Menara Empire di Amerika Syarikat dalam tempoh terdekat.

Antara rekod kejayaan Suwaibah ialah pernah menyempurnakan Larian Terusan Sutera Merentasi Laluan Marco Polo (Larian Aroma) pada 2014 dan mencatat 10 rekod dalam Malaysia Book of Records pada tahun yang sama.

Dalam pada itu, majlis tersebut juga memberi pengiktirafan kepada 20 atlet yang hadir atas kejayaan mereka di persada sukan dunia.

Antara bekas atlet negara yang menerima pengiktirafan termasuk Datuk Mirnawan Nawawi, Hidayat Hamidon dan Datuk Rabuan Pit manakala atlet Paralimpik pula adalah Muhammad Ziyad Zolkefli, Siti Nor Radiah Ismail dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi. - UTUSAN ONLINE