Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai pemimpin yang pernah diberikan Hadiah Nobel Keamanan, Suu Kyi tidak boleh lagi berdiam diri dan menjadikan pengiktirafan itu sebagai sesuatu yang tidak bermakna kepada dunia.

“Jika dahulu beliau boleh berjuang untuk demokrasi, libera­lisasi dan demokrasi hingga diiktiraf dunia, pemimpin itu sepatutnya menterjemahkan perjuangan tersebut kepada isu Rohingya yang sedang berlaku di negaranya sendiri.

“Pengiktirafan yang diberikan dunia itu harus disertakan dengan tindakan yang sejajar sehingga dia diberikan anugerah tersebut, bukannya sekadar ‘patungan’ untuk dilihat dunia sahaja,” katanya.

Ahmad Zahid membuat gesaan itu ketika berucap pada majlis penutupan program Merdeka Rides 2017 anjuran Persatuan Superbi­kers Malaysia (SAM) di sini yang turut disertai penunggang dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika negara lain me­nunjukkan keprihatinan terhadap nasib masyarakat Rohingya melalui pelbagai bantuan yang dihulurkan, masyarakat dunia juga sedang menunggu tindakan sama daripada pemimpin tersebut.

“Beliau perlu segera terjemahkan perasaan yang dikongsi dunia dengan melakukan sesuatu, yang selayaknya dipamerkan sebagai pemenang anugerah Nobel,” katanya.

Suu Kyi menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 iaitu ketika beliau dikenakan tahanan rumah selepas tindakannya menentang pemerintahan junta tentera di Myanmar bagi memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia di negara itu.

Dalam hal sama, Ahmad Zahid menggesa bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan memainkan lebih peranan dalam menyeru pertubuhan antarabangsa yang lain untuk menu­njukkan keprihatinan membela nasib etnik Myanmar.

Ahmad Zahid berkata, perbezaan agama dan kaum tidak seharusnya dijadikan halangan sebaliknya pertubuhan antarabangsa dan masyarakat dunia perlu disedarkan dengan peranan mereka untuk membantu atas nama kemanusiaan. – BERNAMA