Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan me­nyampaikan ucaptama, sekali gus me­rasmikan persidangan selama dua hari yang bermula pada 20 November ini.

Menurutnya, persidangan edi­­s­i keempat anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) de­ngan sokongan kerajaan negeri itu terus mendapat sambutan para pemikir Islam dengan 12 negara telah mengesahkan penyertaan.

“Persidangan bertemakan kea­manan global ini memberi fokus kepada keadaan dunia pada hari ini, lebih-lebih lagi apabila Islam dilihat sebagai punca berlakunya masalah keganasan.

“Oleh itu, dengan penyertaan tokoh Islam dan bukan Islam, ia dapat memberikan gambaran sebenar­ apa yang berlaku di dunia ini sekali gus mencari kaedah terbaik ke arah jalan perda­maian,” kata­nya dalam sidang akhbar di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Naib Cancelor USAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Datuk Dr. Afifi Al-Akiti.

Antara subtema yang bakal dibin­cangkan dalam WCIT 2017 meliputi konflik sosial dan pelampau agama, isu kemanusiaan dan keamanan sejagat, falsafah dan tradisi kerohanian; kuasa, politik dan media; geostrategi dan keamanan global serta pendidikan dan belia.

Tokoh lain yang dijangka membuat pembentangan pada edisi kali ini ialah Pengasas Madina Institute Amerika Syarikat, Shaykh Muhammad Yahaya Al-Ninowy, profesor perbandingan agama di Duke University, Amerika Syarikat, Bruce Lawrence; Presiden Gerakan Antarabangsa Sedunia, Dr. Chandra Muzaffar dan aktivis terkenal misi bantuan ke Gaza, Ann Wright.

Zambry berharap WCIT 2017 bukan sahaja memberi impak besar kepada Perak, tetapi juga menjadi medan pertemuan para ilmuwan di peringkat dunia secara keseluruhan.