Carian juga mendapati hampir 100 penyanyi Kelantan lama dan baharu pernah menghasilkan klip video komersial dengan sekurang-kurangnya separuh daripada mereka masih aktif.

Klip video lagu saduran dialek Kelantan, Dok Mano pada 2012 adalah yang tertinggi ditonton iaitu sebanyak 1.7 juta kali diikuti Anak Tupai (2001) dengan 1.5 juta tontonan.
Sejarah turut tercipta apabila Inovasi, album yang memuatkan lagu Anak Tupai nyanyian Halim Yazid berjaya dijual sehingga 100,000 unit.

Kajian Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2014 mendapati antara 100,000 hingga 150,000 unit cakera padat (CD) dikir barat dan lagu tempatan terjual setiap minggu di Kelantan dengan membawa pulangan kira-kira RM500,000 sebulan.

Wartawan Utusan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM, ZAAIN ZIN dan YATIMIN ABDULLAH serta jurugambar ROSNI MASRI mendekati penggiat seni tersebut bagi menyingkap kejayaan mereka membina pengaruh biarpun tanpa publisiti atau sebarang pengiktirafan daripada media arus perdana.
Ikuti siri pertama laporan khas kisah industri muzik Kelantan.

KOTA BHARU 11 Julai -  Itu dua rangkap pertama lirik lagu dikir barat bertajuk Anak Tupai. Seni katanya diisi 100 peratus loghat Kelantan, kede­ngaran lucu, namun sarat dengan panduan dan pedoman. Melodinya ringan, catchy atau mudah ditangkap sehingga terngiang-ngiang di telinga.

Penyampaian penyanyi yang juga penggubah serta penulis liriknya, Halim Yazid cukup bersahaja. Dia tidak menggunakan terlalu banyak teknik vokal walaupun dalam masa sama, masih mengekalkan lenggok Melayu asli yang indah berseni.

Ramuan tersebut ternyata berkesan. Sekalipun sudah 16 tahun sejak mula diperkenalkan, populariti lagu itu bukan sahaja tidak pudar, malah menjadi salah satu lagu malar segar. Album Inovasi yang mengandungi lagu Anak Tupai dan dihasilkan pada 2001, dikatakan terjual lebih 100,000 unit.

Jangan terkejut jika dikatakan Anak Tupai bukan satu-satu­nya lagu yang berjaya mencipta fenomena. Hakikat yang mungkin kita terlepas pandang, puluhan lagu dialek Kelantan turut melakar kejayaan serupa.

Jika ditaip Dok Mano di ruang carian, satu klip video bertajuk Man Khan & Rosalinda - Dok Mano muncul di tangga teratas senarai keputusan. Dok Mano yang menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya meru­pakan lagu saduran kepada Right Now dendangan asal pe­nyanyi antarabangsa, Akon.

Klip video Dok Mano yang dikongsikan sejak 2012 setakat ini telah ditonton sebanyak 1.7 juta kali di YouTube sementara klip video Anak Tupai pula sudah ditonton sebanyak 1.5 juta kali di laman sama.

Carian rambang penulis di YouTube juga mendapati hampir 100 penyanyi pernah menghasilkan klip video komersial, dengan separuh daripada mereka masih aktif sehingga sekarang.

“Selain Halim Yazid, Man Khan dan Rosalinda, terdapat ramai lagi penyanyi tersohor seperti Megat Nordin, Cikgu Sulizi, Jen Enduro, Roy Kapila, Iwere, Adik Wani, Kajol dan Dikir Warriors.

“Karya seni Kelantan yang menjadi fenomena juga bukan hanya Anak Tupai dan Dok Mano, sebaliknya ada ratusan lagi. Tidak mampu untuk saya senaraikan ke­semuanya kerana terlalu ba­nyak,” kata seorang pemuzik, Hamzan Hassan.

Hamzan, 48, atau lebih mesra dengan panggilan Abe Jea merupakan bekas ahli kumpulan rock Zodiak yang pernah popular di arena muzik tanah air sekitar era 1980-an. Beliau bukan sekadar pemuzik sebaliknya aktif mencipta lagu, menulis lirik, menggubah muzik serta menerbitkan album lagu daerah.

Bagi penggiat seni, Hamzan adalah ‘otai’ dalam industri. Beliaulah ‘Ramli MS Kelantan’ yang berjaya melonjakkan populariti nama-nama besar seperti Megat Nordin, Cikgu Sulizi, Man Khan, Adik Wani serta Rosalinda.

Menurut Hamzan, populariti dikecapi lagu Anak Tupai dan Dok Mano sememangnya menjadi antara lambang survival seni muzik Kelantan yang penuh de­ngan keunikan dan kejutan.

“Tanpa pendedahan dan publisiti media arus perdana, hasil seni kami berjaya membina pe­ngaruh dan berakar umbi di Kelantan sejak sekian lama,” katanya.

Secara asas, industri muzik Kelantan terbahagi kepada dua genre iaitu lagu dikir barat serta lagu loghat Kelantan. Walau bagaimanapun, masyarakat te­r­­utama penduduk luar Kelantan sering terkeliru apabila melabel apa sahaja lagu dinyanyikan dalam dialek Kelantan sebagai dikir barat.

Mengakui kekeliruan itu wujud, Hamzan memberitahu, dikir barat merupakan lagu yang mempunyai tiga elemen penting iaitu individu yang menjadi tukang karut dan tok jogho yang lucu bersahaja serta kumpulan awak-awak sebagai penyanyi latar yang cukup ceria.

“Lagu loghat Kelantan atau lagu daerah pula bersifat ko­mersial. Muziknya lebih moden dan kebiasaannya penyanyi akan menggunakan minus one. Muzik­nya mungkin berjalur tradisional, pop, R&B, rock atau dangdut. Lagu saduran juga termasuk kate­gori ini,” katanya.

Menurut Hamzan, antara strategi terbaik bagi mempromosi lagu-lagu adalah menerusi Kelantan FM yang cukup komited menyokong industri serta peniaga-peniaga gerai yang menggunakan strategi memutarkan lagu-lagu berkenaan secara berulang-ulang di pasar-pasar malam.