Pihak Astro Sdn. Bhd., dalam satu kenyataan hari ini berkata, SYTD2 merupakan filem terbitan produksi MD Pictures dan pihak mereka bertanggungjawab melakukan kempen promosi dan pemasaran di Malaysia.

Selepas 10 hari berada di pawagam sejak ia ditayangkan pada 16 Februari lalu, jumlah penonton masih belum berkurangan. Rentetan dari itu, jumlah pawagam yang mulanya hanya 64 pawagam, turut bertambah menjadi 84 pawagam selepas sambutan positif daripada penonton.

Purata penonton Malaysia yang telah menonton filem ini lebih daripada tiga kali adalah 55% golongan wanita dan 45% golongan lelaki.

Sementara itu, melalui kaji selidik menerusi media sosial tentang watak kegemaran dalam filem mendapati 40% penonton menyukai watak Arini lakonan Laudya Chintya Bella, diikuti 26% untuk watak Meirose (Raline Shah), 20% untuk watak Pras (Feri Nuril) dan 7% masing-masing bagi watak doktor Syarief (Reza Rahadian ) serta Sheila (Nora Danish).

Lebih mengujakan, filem bahagian pertama juga yang boleh dinikmati menerusi laman sesawang Astro Gempak sejak awal Februari lalu juga telah mencecah setengah juta penonton. Sementara itu, tontonan untuk trailer dan teaser rasmi bagi versi Malaysia telah mencecah tiga juta dalam tempoh 2 minggu.

Filem SYTD2 yang bergenre drama ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri Pras dan Arini kembali meneruskan kehidupan bersama puteri mereka, Nadia (Sandrina Michelle Skornicki) setelah isteri kedua Meirose membawa diri.

Arini mendapat undangan ke Budapest, Hungaria untuk mempromosikan bukunya. Tanpa diduga, takdir menemukan mereka sekeluarga bersama Meirose dan anaknya Akhbar (Keefe).

Pemergian Meirose bersama Akhbar dahulu adalah untuk mula hidup baharu demi melupakan masa lampau yang hampir menghancurkan rumah tangga Arini. Meskipun Meirose masih menyanjung dan mencintai Pras, tetapi dia tekad untuk diceraikan.

Namun, pertemuan semula dengan Arini membuatkan dia berbelah bahagi kerana wanita mulia itu mengharapkan Meirose kembali ke pangkuan Pras. Malah, kehadiran doktor Syarief dalam hidup Meirose turut menimbulkan tanda tanya. Apakah kesudahan kisah mereka? Sejuta pertanyaan dan kejutan akan mewarnai SYTD2. UTUSAN ONLINE