Tabung Haji dalam kenyataan memberitahu sebarang keputusan bagi rayuan haji akan dipertimbangkan berasaskan prinsip istito’ah atau kemampuan mengerjakan haji.

Katanya, prinsip itu termasuklah mempunyai wang yang cukup untuk menampung semua perbelanjaan menunaikan haji; mempunyai bekalan dan perbelanjaan cukup termasuk nafkah orang di bawah tanggungan ditinggalkan di tanah air; terpilih dalam kuota dan mempunyai mahram bagi wanita.

“Tabung Haji masih dalam proses penilaian ke atas setiap permohonan rayuan secara individu. Proses ini mengambil kira semua kategori rayuan yang akan dinilai secara terperinci.

“Surat tawaran akan dimaklumkan kepada pemohon rayuan haji yang berjaya dalam masa terdekat dan Tabung Haji berharap semua pihak bersabar menunggu keputusan rayuan masing-masing,” katanya hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan pengiring jemaah haji yang menunaikan ibadah itu lebih awal dari tahun peruntukan tidak lagi layak mendapat subsidi haji seperti yang disediakan sebelum ini.

Menurut sumber, bermula tahun ini, setiap pengiring perlu membayar kos penuh iaitu sebanyak RM22,900 walaupun kali pertama mengerjakan ibadah haji. - UTUSAN ONLINE