Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, surat itu disampaikan meskipun berlaku insiden-insiden yang dilihat membelakangi usaha-usaha diplomatik berterusan Malaysia-Singapura baru-baru ini.

Kedua-dua Saifuddin dan Vivian jelas Wisma Putra, turut bertemu pada Sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Chiang Mai, Thailand yang berakhir semalam.

“Kerajaan Malaysia komited dalam menyelesaikan isu-isu dua hala dengan Kerajaan Singapura dengan cara yang aman dan tenang.

“Dalam hal ini, usaha-usaha diplomatik sedang digerakkan dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung isu membabitkan kedua-dua negara,” kata Wisma Putra di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa insiden telah berlaku yang dikatakan mengeruhkan hubungan kedua-dua negara termasuk isu lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke Pelabuhan Johor Bahru pada 9 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selepas ini akan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Khaw Boon Wan untuk membincangkan tindakan seterusnya berhubung isu-isu berkaitan ruang udara kedua-dua negara termasuk Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan prosedur ILS di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Selain itu, tambahnya, satu mesyuarat antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong akan diadakan pada 28 Januari depan.

Jelasnya, mesyuarat itu adalah bagi membincangkan serta mencari penyelesaian terhadap isu-isu maritim Malaysia-Singapura serta hal-hal perundangan dan operasi dalam usaha meredakan keadaan selain menyediakan satu asas untuk perbincangan.

“Usaha-usaha berterusan ini menunjukkan komitmen utuh Malaysia dalam mencari penyelesaian diplomatik terhadap isu-isu dua hala dengan jiran terdekat Singapura dalam cara yang aman dan konstruktif, di atas asas kesamarataan dan saling menghormati,” katanya. - UTUSAN ONLINE