Kategori kedua adalah Rohingya yang sudah memohon status pelarian daripada UNHCR, tetapi masih belum ditentukan status pelarian dan mereka dikenali pencari suaka politik. Kategori ketiga pula ialah Rohingya yang belum berdaftar, tetapi berhasrat untuk memohon status pelarian daripada UNHCR. Kebanyakan mereka adalah kumpulan yang baru tiba di Malaysia, sekurang-kurangnya setahun.

Seorang pelajar program ijazah doktor falsafah (Ph.D), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sedang membuat penyelidikan mengenai Rohingya di Malaysia, Andika Ab. Wahab (gambar) berkata, kategori kedua dan ketiga merupakan Rohingya yang paling berisiko ditahan oleh pihak penguat kuasa dan ditempatkan di depot tahanan imigresen.

Penyelidikan beliau mendapati, perlindungan daripada tangkapan yang dijalankan oleh penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) adalah strategi paling utama yang dilakukan Organisasi Berdasarkan Komuniti (OBK) Rohingya bagi melindungi etnik itu di negara ini.

Menurut Andika, bagi tujuan perlindungan, OBK Rohingya seperti Rohingya Society in Malaysia (RSM) dan Ethnic Rohingya Committee of Arakan (ERCA) akan mendaftarkan mereka ke dalam persatuan masing-masing.

“Selepas mendaftar, mereka akan diberikan satu surat perlindungan (protection letter) bagi memaklumkan kepada pihak penguat kuasa bahawa pemegang surat tersebut adalah seorang Rohingya yang telah berdaftar dengan persatuan mereka.

“Surat itu juga menjelaskan bahawa pemegang surat tersebut masih dalam proses untuk menghantar permohonan status pelarian atau sedang menunggu pengesahan status pelarian daripada UNHCR,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Menurutnya, surat berkenaan merupakan antara langkah pencegahan bagi mengelak pencari suaka politik Rohingya ditangkap oleh pihak penguat kuasa.

Mengulas lanjut, Andika berkata, untuk mendapatkan surat itu, pemohon dikenakan bayaran bagi menampung kos pentadbiran, misalnya ERCA mengenakan bayaran antara RM20 hingga RM50 bagi setiap surat yang dikeluarkan.

Namun begitu, katanya, tidak semua Rohingya yang memegang surat perlindungan itu boleh terlepas daripada ditahan pihak penguat kuasa.

“Ada yang ditangkap oleh penguat kuasa walaupun telah menunjukkan surat perlindungan. Kalau ada kes ditangkap dan dibawa ke balai polis, proses untuk melepaskan mereka agak rumit dan mengambil masa,” katanya.