Menurut ketua kumpulan itu, Park Jeong-su, atau lebih terkenal dengan nama pentasnya, Leeteuk, mereka berharap, dan sentiasa bersedia, untuk menemui peminat mereka di rantau ASEAN.

"Kami berasa terharu dengan sokongan mereka dan ingin belajar lebih lanjut tentang budaya masyarakat ASEAN, kami sendiri yang membuat penyelidikan tentang kesemua negara ini," katanya kepada wartawan dari negara ASEAN, di sini baru-baru ini.

Kumpulan wartawan itu melakukan lawatan sembilan hari ke Korea Selatan mulai 12 Oktober di bawah program Lawatan Pertukaran Anggota Media ASEAN dan Korea 2017.

Anggota lain kumpulan Super Junior ialah Kim Jong-hoon (Yesung), Shin Dong-hee (Shindong), Lee Hyuk-jae (Eunhyuk), dan Lee Dong-hae (Donghae) yang turut hadir pada sidang media itu.

Super Junior ditubuhkan pada 2005 dengan penampilan awalnya membabitkan 12 anggota.

Beberapa orang daripada mereka yang pernah mengunjungi negara ASEAN termasuk Indonesia, Kemboja, Filipina dan Thailand, turut menyatakan kekaguman mereka terhadap pembangunan di negara berkenaan.

Leeteuk turut menyatakan, Super Junior akan mengeluarkan album baharu pada 6 November untuk meraikan ulang tahun ke-12 penubuhannya.

"Tarikh ini amat bermakna kepada kami dan kami menumpukan segala usaha dalam membuat persediaan dengan semua anggota kumpulan berpadu tenaga. Kami juga menulis sendiri lirik lagu," katanya.

Album terbaharu Super Junior dijangka akan menemui peminat pada 2019.

Super Junior menjadi terkenal di pentas antarabangsa susulan single terbaik mereka "Sorry, Sorry" pada 2009, yang merupakan tajuk pada album mereka 'Sorry, Sorry'. - BERNAMA