Pengarah Urusan Perkhidmatan Kesihatan Kumpulan Sunway, Lau Beng Long berkata, sistem baharu itu mampu memulihkan pesakit dalam jangka masa yang lebih singkat berbanding pembedahan tradisional.

“Ia membantu pakar bedah untuk bergerak dengan lebih bebas serta melihat dengan lebih jelas keadaan pesakit yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kesakitan dan tempoh pemulihan dalam jangka masa pendek.

“Teknologi ini diharap dapat meningkatkan kualiti kehidupan, mengurangkan kadar kematian malah menjadikan Sunway Medical Centre sebagai tumpuan orang ramai dalam sektor perubatan,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelancaran Sistem da Vinci di sini hari ini.

Sistem da Vinci yang direka oleh syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Intuitive Surgical Incorporated itu terdiri daripada konsol pakar bedah ergonomik, empat lengan robot interaktif dan sistem penglihatan berprestasi tinggi yang berupaya menterjemah pergerakan tangan pakar bedah dengan lebih tepat dan lancar malah melebihi kemampuan pergelangan tangan manusia.

Sistem tersebut boleh digunakan untuk pembedahan jantung, kolorektal, ginekologi, kepala dan leher, toraks, urologi dan pedia­trik.

Sempena pelancaran sistem berkenaan, Sunway Medical Centre turut menjalankan pembedahan prostat secara langsung dengan menggunakan Sistem da Vinci buat kali pertama yang diketuai oleh pakar urologi, Dr. Chua Chong Beng yang mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk membuang keseluruhan kelenjar prostat tersebut.