Abdul Halim Abdul Hamid

Pengerusinya, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, pihak yang mendakwa masih ada babak-babak sensitif ditayangkan itu mungkin daripada versi asal dan bukannya me­rujuk kepada tayangan di Malaysia.

“Setakat ini filem Kabali yang telah disunting tiada masalah, malah kita sudah potong mana-mana bahagian yang berkenaan mengikut garis panduan ditetapkan. Biasa­nya tidak berlaku penarikan balik.

“Jika ada pihak mendakwa ada adegan-adegan sensitif yang terdapat dalam filem itu, mungkin daripada versi asal. Kalau ada pihak masih tidak berpuas hati berhubung isu kontroversi atau penggunaan ayat-ayat yang boleh mencetuskan ketegangan, boleh memaklumkan kepada LPF,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau meminta orang ramai menonton dahulu filem berkenaan sebelum mengeluarkan persepsi kerana berdasarkan penilaiannya, filem tersebut sudah ‘ringan’ atau mild selepas menjalani penyuntingan.

Tambah Abdul Halim, walaupun ada segelintir pihak yang mempertikaikan babak terakhir filem itu yang agak berlainan, beliau menjelaskan LPF tidak boleh memuaskan hati semua pihak dan hanya menjalankan tugas mengikut kriteria dan ketetapan lembaga.

“Berkenaan isu pengakhiran berbeza pula, penerbit memang sudah bersetuju dengan permintaan kita berasaskan garis panduan tentang aspek pembalasan dan akibat kepada setiap perbuatan jenayah.

“Memang ada pihak yang kurang senang dengan babak akhir itu tetapi mengikut peraturan perfileman kita memang begitu dan perlu dipatuhi. Penerbit dan pengeluar filem sedia maklum tentang perkara ini, jadi sepatutnya tiada isu,” katanya.