Tidak hanya disuntik pada pipi, dagu, hidung dan bibir untuk dibentuk mengikut trend kecantikan terkini, filler juga disuntik pada anggota tubuh yang lain seperti payudara dan pinggul.

Bagaimanapun, ramai kalangan mereka yang taasub dengan kecantikan mengambil jalan mudah dan murah dengan mendapatkan suntikan filler di pusat-pusat kecantikan atau individu yang

DR. NAZELIA THIBRONI
DR. NAZELIA THIBRONI 

tifdak bertauliah, tanpa memikirkan risiko yang dihadapi mereka.

Mengupas perkara itu, wartawan Mingguan Malaysia, HADI AB. MANAP menyiapkan Laporan Khas mengenai trend suntikan filler ini.

KUALA LUMPUR 2 Feb. -  Ramai kalangan wanita tidak mengetahui risiko yang mereka bakal hadapi apabila mengambil suntikan dermal filler (filler) yang ditawarkan oleh pusat-pusat kecantikan, spa atau individu yang tidak bertauliah.

Antara risiko yang dihadapi ialah komplikasi di bahagian yang disuntik atau lebih parah lagi menyebabkan kanser.

Menurut Doktor Perubatan Estetik, Dr. Nazelia Thibroni, dalam tempoh sebulan, kliniknya me­nerima kira-kira lima kes kom­plikasi akibat mengambil suntikan filler secara haram termasuk pada bahagian payudara dan pinggul.

Dedah beliau, keadaan rata-rata pesakit itu adalah kronik berikutan komplikasi dialami pesakit terbabit dibiarkan dalam satu tempoh masa panjang dan jika tidak dirawat ia boleh memberi kesan lebih berbahaya seperti kanser.

“Agak serius, selalu mereka datang dengan jangkitan yang lebih dari sebulan. Maknanya, katakanlah dia suntik dekat pipi untuk menaikkannya tetapi dengan prosedur yang salah, ia akan jadi bengkak, bernanah dan keras.

“Kenapa tunggu sampai sebulan? Ini kerana mereka tahu sakit dialami itu sebabnya dari mana. Jadi, mereka cuba runding de­ngan premis kecantikan itu. Selalunya mereka akan cakap ‘pergi jumpa doktor’, lepas tanganlah,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kliniknya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Jelas Dr. Nazelia yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang berkenaan, jenis filler yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesan negatif adalah daripada jenis kekal yang sudah diharamkan penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan.

“Mana-mana pegawai perubatan yang sah akan guna filler daripada asid hialuronik atau kita panggil HA filler. Ia berasaskan air, jadi apabila air berada di bawah kulit maka tidak akan mendatangkan reaksi tubuh.

“Yang kekal ini pula biasanya daripada sumber seperti haiwan, Contohnya, kolagen yang diperoleh daripada lembu dan babi,” ujarnya.

Menyentuh berhubung kos, Dr. Nazelia memberitahu, filler dikira berasaskan satu mililiter (ml) untuk sekali suntikan yang mana harganya di antara RM1,000 hingga RM2,500.