Bagaimanapun suasana itu mula berubah apabila sungai tersebut mula dicemari dengan sampah sarap yang memenuhi kawasan sekitarnya akibat perbuatan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

Seorang penduduk, Hamizan Hadrus,40, mendakwa, tindakan mereka dari pusat basuh kereta automatik di kawasan berkenaan mengorek lubang di tebing sungai tersebut seterusnya membuang sampah di situ, menyebabkan sungai terbabit dicemari dengan sampah.

Dakwanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan perkara baharu malah dikesan sejak sekian lama, selain didapati pusat berkenaan turut menggunakan air daripada sungai tersebut untuk tujuan mencuci kereta.

“Mereka (pusat basuh kereta) korek lubang di tebing sungai tersebut dan buang sampah di situ dan apabila air naik sampah daripada lubang berkenaan akan mula memenuhi sungai berkenaan.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena sebelum ini untuk dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk tindakan lanjut.

“Meskipun ADUN berkenaan sudah melaporkan kepada MPK, namun tindakan sehingga saat ini masih tidak diambil oleh pihak berkuasa itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, ADUN Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada MPK sejak bulan Julai lalu namun malangnya masih belum ada tindakan diambil.

Malah katanya, masalah itu juga pernah dibawa oleh beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, dengan harapan kerajaan negeri memandang serius situasi berkenaan.

“Saya menggesa MPK mengambil tindakan segera membersihkan kawasan yang dicemari sampah sarap itu. Aduan dibuat sudah lama, mengapa masih belum ada sebarang tindakan.

“Malah saya juga difahamkan sungai tersebut sebelum ini meriah dengan aktiviti memancing. Namum apabila sungai sudah tercemar, aktiviti tersebut sukar untuk dilaksanakan lagi,” katanya.- UTUSAN ONLINE