Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, cabaran menguruskan sumber perikanan adalah semakin kompleks dan mencabar terutama dalam menuju ke arah pencapaian Dasar Agromakanan pada 2020.

“Kajian pentaksiran stok sum­ber perikanan di negara ini yang dijalankan oleh pasukan penyelidik Jabatan Perikanan mencatatkan nilai biomass bagi sumber dimersal, pelagik, tuna dan udang hanya tinggal seba­nyak 1.8 juta tan metrik bernilai RM18.1 bilion.

“Sehubungan itu, bagi memulihkan paras biomass ini, Jabatan Perikanan telah me­rangka FMP yang dilihat mampu menguruskan sumber perikanan dengan baik, membangunkan stok ikan di perairan negara dan menjamin kemampanan ikan untuk generasi akan datang,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Sambutan 100 M#myDOF di Wisma Tani, Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menyempurnakan pelancaran FMP serta Pecutan Pelan Strategik Jabatan Per­ikanan dan Rangka Kerja MyKomuniti Perikanan.

Tambah Munir, industri pe­r­ikanan yang terdiri daripada perikanan tangkapan dan akuakultur dijangka memper­oleh permin­taan sebanyak 3.02 juta tan metrik pada 2020. Sehubungan itu, bagi mereali­sasikan sasaran yang ditetapkan, Pelan Strate­gik Jabatan Perikanan telah dikaji semula dan diperkasakan.

“Cabaran ini perlu digalas oleh semua anggota serta kakitangan jabatan dan kita mesti komited untuk menguruskan sumber perikanan untuk keperluan semasa dan masa hadapan generasi baharu.

“Kita juga perlu terus me­rangka lanskap sektor perikanan menjangkau ke tahun 2050 selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina masa depan negara melalui inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu berdasarkan aspirasi dan harapan golongan belia, pihak industri dan kumpulan sasar,” kata­nya.

Menurut­nya, pe­lak­sa­­­­naan program pe­­ngurusan sumber per­ikanan perlu berubah melalui paradigma dan pendekatan yang lebih mes­ra bersama golo­ngan nelayan.

“Penglibatan nela­yan untuk me­ngurus sumber per­ikanan akan ditingkatkan melalui #myKomuniti Perikanan (#myKP) iaitu konsep penyatuan dan penambahbaikan program-program yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan bersama komuniti perikanan pantai dan darat sedia ada.

“Program #myKP juga merupakan konsep sokongan baharu kepada program komuniti per­ikanan sedia ada seperti Sukarelawan Perikanan (SUPER) dan Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) yang aktif,” katanya.

Menyentuh mengenai Bajet 2018, Munir berkata, peruntukan sebanyak RM133 juta kepada Jabatan Perikanan adalah khusus untuk menjana peluang kekayaan baharu melalui pe­rikanan.

“Komoditi tuna, perikanan laut dalam, akuakultur dilihat dapat memberi sumbangan yang signifikan di samping menye­diakan 20 ribu peluang pekerjaan dan tenaga mahir tempatan. Pengawalan sumber perikanan juga akan diperkasakan bagi memastikan kelestarian sumber protein untuk generasi akan datang,” katanya.

Ujar Munir, tagline 100 M#myDOF membawa maksud 100 hari kepim­pinan baharu Jabatan Perikanan yang menjunjung nilai-nilai korporat M.U.T.I.A.R.A iaitu Maju, Unggul, Telus, Inovatif, Ama­nah, Rasional dan Adil.

“Dalam tempoh 100 hari ini, kami banyak turun padang, umpama berlari pecut 100 meter dalam membuat ketetapan dan usaha bagi merangsang ekonomi, langkah-langkah peningkatan da­ya saing dan pendekatan terbaik bagi mentransformasi subsektor perikanan negara.

“Ini sejajar dengan usaha kita untuk menjamin be­kalan ikan yang mencukupi dan meme­nuhi permintaan dan ekspektasi rak­yat, kumpulan sasar serta kepe­mimpinan negara,” ka­ta­nya.