Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ekoran krisis bekalan air yang berlarutan di Lembah Klang ketika ini, Kementeriannya mendapati tidak berlaku sebarang masalah dari aspek sumber air.

“Ini bagi menjawab ada yang tidak berpuas hati dengan jumlah hujan yang kerap kebelakangan ini akan tetapi berlaku gangguan perkhidmatan seolah-olah berlaku masalah kekurangan air dari sumber-sumber bekalan.

“Ini termasuk berlaku pencemaran air di mana-mana sumber utama air terutamanya sungai. Sedangkan perkara itu tidak berlaku. Jika berlaku sebarang pencemaran dan aktiviti pencemaran, Kementerian akan segera atasi,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Serdang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalan beliau, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad.

Di majlis itu, seramai 934 pegawai dan kakitangan dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah terpilih untuk menerima APC dengan 35 pegawai menerima Anugerah Kecemerlangan Kementerian (AKNRE) dan sembilan orang menerima Anugerah Lama Berkhidmat (ALB). - UTUSAN ONLINE