Program yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan itu dianjurkan bersama Hotel Grand Riverview dan Kelantan Creative TV (KCTV).

Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim berkata, pihaknya telah menziarah lebih 20 rumah asnaf dan fakir miskin sepanjang bulan puasa di negeri ini.

“Melalui program Kita Kongsi ini, kita telah menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas, makanan serta wang ringgit.

“Malah, lebih membanggakan apabila orang ramai tidak putus-putus memberikan sumbangan bukan hanya dalam wang ringgit tetapi juga dalam pelbagai bentuk sebagai tanda sokongan terhadap program ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa bersama 25 pelajar di Madrasah Tahfiz Istiqamah, Badang, Pantai Cahaya Bulan, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengarah Penyiaran negeri, Noriani Mohd. Idris dan Imam Masjid Istiqamah, Mohd. Firdaus Mansol.

Pada majlis tersebut, Noriani turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz dan masjid itu.

Dalam pada itu, Azran Fitri berkata, pihaknya juga akan membawa anak-anak asnaf berkenaan membeli baju raya.

“Kita akan bawa anak-anak itu membeli baju raya pada Isnin ini.

“Ini juga sebagai usaha memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada mereka menyambut Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE