Sumbangan Takaful Khairat Kematian sebanyak RM1,500, air zam-zam dan kurma disampaikan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada anak keempat Allahyarham, Zainol Ahmad, 55.


Allahyarham meninggal pada pukul 8.05 malam (waktu Arab Saudi) pada 29 Ogos lalu akibat jangkitan dalam darah dan paru-parunya.


Rokiah pergi ke Mekah bersama suaminya, Ahmad Udoh, 83, yang dijadual pulang ke Malaysia pada 27 September ini.


“Hari ini saya bersama warga Tabung Haji menziarahi waris mereka yang mana selain menyampaikan sumbangan, saya turut menyampaikan mesej kepada anak-anak dan keluarganya bahawa ayah mereka berada dalam keadaan sihat,” kata Abdul Azeez kepada Bernama.


Sementara itu, Abdul Azeez berkata, Allahyarham merupakan jemaah Malaysia yang ke-16 yang meninggal di Mekah dan badal haji untuknya telah dilaksanakan memandangkan beliau meninggal sebelum wukuf.


“Malah pihak pengurusan TH turut memberi penjagaan rapi terhadap suaminya Ahmad sehingga dia selamat tiba di tanah air,” katanya.


Sementara itu, anak kedua mereka, Sharifah Ahmad, 60, berkata, ibu dan bapanya mengerjakan haji dengan diiringi dua adiknya bersama pasangan masing-masing pada 12 Ogos lalu.


“Allahyarham tidak ada penyakit dan walaupun masih bersedih dengan kehilangan adik yang belum sampai dua bulan meninggal dunia sebelum ini, namun saya dan keluarga reda dengan pemergian ibu kami,” katanya.


Jenazah Rokiah dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ie pada 30 Ogos lalu.- BERNAMA