Neelofa, 29, berkata, program anjuran kelab peminatnya, Neelofa Team itu me­rupakan salah satu cara untuk dia mencuri masa dan memberi sumbangan kecil kepada masyarakat.

Jelasnya, setiap program CSR yang pernah dia sertai merupakan satu pembelajaran rohani dalam mengajar diri­nya lebih bersyukur dan ber­terima kasih atas rezeki yang diperoleh.

“Sememangnya kita ti­dak boleh duduk diam dan hanya melihat dari jauh keperitan atau kesusahan yang dilalui segelintir pihak. Jadi apabila ada peluang sebegini, kita harus turun padang dan memberi sokongan.

“Saya bersyukur para peminat sentiasa memberi saya peluang untuk bersama-sama mereka melakukan aktiviti de­ngan masyarakat yang kurang bernasib baik. Malah ini juga saya anggap sebagai satu kelas pembelajaran dalam mengajar kita supaya lebih bersyukur dan berterima kasih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia de­kat sini hari ini.

Neelofa bersa­ma-sama 20 peminatnya hadir menyertai pelbagai aktiviti antaranya silap mata dan permainan riadah untuk menghiburkan kanak-kanak orang kurang upa­ya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sau­jana Utama, Su­ngai Buloh.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, program tersebut akan diteruskan dan setiap peminatnya berpeluang untuk menyertai program kebajikan tersebut.

“Kita memberi peluang kepada semua peminat yang ingin menyertai program ini. Setiap program yang dilakukan, pasti wajah-wajah baharu yang akan menyertai.

“Malah saya juga sangat terharu apabila ada peminat yang sanggup hadir dari Sarawak semata-mata untuk bersama saya dalam melakukan aktiviti keharmonian seperti ini,” katanya.