Lebih mengujakan apabila mereka berpeluang bertandang ke istana dan menerima bantuan bagi melengkapkan keperluan yang disempurnakan sendiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam majlis anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu, seramai 200 fakir miskin menerima wang tunai RM400 dan hamper yang mengandungi barangan asas harian bernilai RM150.

Turut menerima ialah 18 orang pengusaha bot penambang serta 33 orang penarik beca di samping 11 orang bekas pemain bola sepak negeri.

Keberangkatan Sultan Mizan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof.

Sebanyak RM214,000 diperuntukkan bagi sumbangan itu yang dijayakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi.

Bantuan sebanyak RM200 setiap seorang turut dikurniakan kepada 240 pelajar miskin daripada lapan sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan Gelugor (SK), SK Sungai Berua, SK Sungai Pergam, SK Kepong dan SK Pechah Rotan dan SK Pendidikan Khas Kuala Terengganu.

Pada tahun ini juga, seramai 30 pelajar Ma’had Tahfiz Al-Jami’ah Darul-Buhus Al-Islamiyyah Al-Aliyyah Muhyid-Din dan Madrasah Addiniah Azzakiah (Pondok Lubuk Periuk) turut di­pilih me­nerima bantuan tersebut.