Baginda selamat diijabkabulkan dengan Norashikin Abdul Rahman, 45, oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid serta disaksikan Timbalan Mufti, Dr. Anhar Opir dan Imam Paduka Tuan, Mohd. Rasid Mahful.

Yang turut hadir menyaksikan majlis itu ialah bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin serta bapa dan ahli keluarga pihak pengantin perempuan.

Pemakluman mengenai majlis itu dibuat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Mohamad Munir ketika dihubu­ngi mengesahkan perkara itu dan menegaskan bahawa majlis ijab kabul berkenaan diadakan secara ringkas dan sederhana sebagaimana yang dititahkan oleh baginda.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bilakah istiadat pemasyhuran yang turut memungkinkan Norashikin diisytiharkan sebagai Tengku Permaisuri Sela­ngor akan diadakan.

“Kita (pihak istana) akan keluarkan kenyataan lain mengenai perkara (pemasyhuran) itu kemudian. Yang kita umumkan hari ini ialah mengenai majlis ijab kabul antara baginda dengan Norashikin,” ujarnya.

Norashikin merupakan pengacara serta penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Beliau sebelum ini dilaporkan mempunyai dua orang anak iaitu Nur Amanda dan Adam Salleh, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, hasil perkahwinan terdahulunya dengan seorang juruterbang pesawat komersial, Mustapha Kamal Halim.

Norashikin pernah meraih anu­gerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 (ASA2005).

Majlis itu merupakan perkahwinan ketiga baginda.

Perkahwinan pertama baginda ialah dengan Raja Zarina Raja Zainal pada 1968 dan dikurniakan dua orang puteri, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah. Bagaima­napun, jodoh baginda dengan Raja Zarina berakhir pada 1986.

Baginda kemudiannya melang­sungkan perkahwinan kedua de­­ngan Puan Nur Lisa Idris Abdullah, seorang rakyat Amerika Syarikat pada 1988 sehingga Jun 1997.

Hasil pernikahan kedua itu, baginda dikurniakan seorang putera, Tengku Amir Shah yang ketika ini merupakan Raja Muda Selangor.